Monday, March 21, 2011

novel biar senderhana penyampaian

NOVEL BIAR SEDERHANA PENYAMPAIANNYA

SETIAP karya wajar memiliki keseronokkan kepada orang yang membacanya. Jika pada bab awalan sudah membosankan sudah tentu ia bukan karya yang menyeronokkan sebaliknya ia membosankan.

Kepada penulis yang mengarang cerita berkenaan mungkin tidak sedar. Ia seronok untuk diri sendiri tetapi membosankan kepada orang lain. Dalam hal ini, memanglah bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang.

Namun apa yang penting, setiap novel itu mesti ada mesej dan cara penyampaiannya biarlah sederhana tetapi menarik, tidak terlalu serius dan bukan cara berlawak.
Setiap pembaca mempunyai persepsi sendiri terhadap novel yang dibacanya. Mungkin membosankan kepada mereka tetapi tidka kepada orang lain kerana pembaca itu sendiri terdiri daripada pelbagai peringkat, usia, pembelajaran dan sebagainya.

Majoriti pembaca novel hari ini bukanlah yang jenis suka membaca novel yang serius. Mereka membaca hanya sekadar untuk mengetahui ceritanya dan bukan untuk memikirkan sama ada novel itu bermutu atau tidak.

Mereka membaca sambil bersantai sambil memenuhi waktu yang terluang. Mereka tidak mahu memberatkan fikiran dengan persoalan yang di luar kemampuan mereka untuk memikirkannya.

Secara amnya, sesebuah novel biarlah sederhana penyampaiannya sesuai untuk semua peringkat umur yang membacanya, bersahaja, mudah bahasanya dan menarik penyampaian dan ada pengajarannya.

Pembaca yang berasa seronok sudah pasti akan mencari lagi buah tangan penulis yang sedang dibacanya kerana sudah tertarik dengan gaya penyampaian dan mampu memikat pembacanya sendiri.

PENTINGKAH JUDUL SEBELUM MENULIS NOVEL

TERDAPAT sesetengah penulis tidak boleh menulis jika tidak ada judulnya terlebih dahulu. Sama ia judul cadangan atau judul tetap, ia ibarat seperti ‘ibu’ yang akan menjadi penaung kepada apa yang bakal dituliskan.

Bagaimanakah jika tidak ada judul sebelum menulis? Jika beginilah keadaannya, sudah tentulah kerja-kerja menulis tidak boleh dilakukan dan selamanya ia akan hanya diperingkat angan-angan sahaja.

Sebaik-baiknya, usah pentingkan sangat mengenai judul. Percayalah judul akan dating apabila novel itu selesai ditulis. Tidak semestinya judul yang kita sediakan akan digunakan sepenuhnya oleh penerbit.

Adakalanya apabila novel itu layak diterbitkan, editor sendiri akan membuat penilaian sama ada judul yang disediakan itu sesuai atau tidak. Editor atau penerbit akan menukar judul yang diberi jika tidak sesuai.

Penulis pula harus menerima jika judul yang diberikan, ditukar dengan judul lain. Pihak penerbit lazimnya mempunyai perancangan kerana ia termasuk dalam soal pemasaran buku berkenaan.

Kemungkinan cerita dalam novel itu tidak bagus tetapi kerana judulnya yang lain daripada yang lain, menyebabkan novel itu ‘laku keras’ apabila di pasarkan.
Oleh yang demikian jangan terlalu bergantung kepada prinsip, tidak ada judul tidak boleh menulis. Tulislah manuskrip novel dahulu, apabila sudah siap barulah berfikir untuk mencari judul yang sesuai.

Kadang-kadang ada novel yang judulnya hebat tetapi ceritanya tidak sehebat judulnya. Namun dalam mencari judul novel, jangan sekali-kali memberikan judul novel yang sudah terbit.

Sebagai contoh, seperti Salina, Ranjau Sepanjang Jalan, Interlok, Hujan Pagi atau novel-novel lain yang pernah diterbitkan. Pembaca akan menjadi keliru apabila terbit sebuah novel lain berjudul Salina misalnya walaupun ia ditulis oleh penulis lain.

MENULIS DI LUAR PENGALAMAN

SAYA percaya ramai di antara kita menulis novel bergantung kepada pengalaman yang tidak dialami sendiri. Ia mungkin pengalaman orang lain atau hasil daripada kajian atau pembacaan sendiri.

Pengalaman sendiri sebenarnya memudahkan proses kreatif seseorang penulis manakala pengalaman yang tidak dialami mungkin akan lebih memaksa pengarang bekerja keras untuk mengimaginasi keadaan.

Contohnya, bagaimanakah kita hendak menuliskan latar ketika zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu sedangkan kita sendiri belum lahir ketika itu? Caranya ialah dengan membuat kajian, selidikan, wawancara dengan mereka yang pernah hidup pada zaman itu dan mendapatkan pelbagai sumber lagi.

Ini lebih sukar dan mengambil masa yang panjang dan tidak semua penulis sanggup melakukannya, lebih baik menulis sahaja apa yang penulis itu tahu dan pernah dialami.

Pada masa sekarang ini, bukanlah sukar sangat hendak menulis sesuatu yang berada di luar pengalaman, asalkan kita sanggup bekerja lebih sedikit mencari maklumat. Semua bergantung kepada kemampuan penulis itu sendiri.

Malah ada sesetengah penulis, walaupun memiliki pengalaman yang pernah dialami tetapi tidak mampu untuk menuliskan kembali. Dalam hal ini, tiga unsur seperti pengalaman, intelektual dan imaginasi sangat penting untuk digabungkan.

Jika ketiga-tiga ini dapat digabungkan ketika menulis sesebuah novel, sudah pasti pembaca akan percaya bahawa apa yang diceritakan oleh penulis itu sendiri memang benar-benar dialami walaupun ia sebenarnya campuran imiginasi dan pengalaman.

CARA MEMPERKAYA PENGALAMAN

MANAKAH yang penting bagi seseorang yang hendak menulis novel, kaya imaginasi atau kaya pengalaman?

Kedua-duanya memang penting tetapi yang lebih penting ialah kaya pengalaman, kedua intelektual dan ketiga barulah kaya imaginasi. Bayangkan, jika kaya imaginasi tanpa pengalaman, bagaimana seseorang hendak menulis?

Jika kaya imaginasi pula, pengarang akan menulis perkara yang berulang-ulang kerana imaginasinya tidak tajam. Bagaimanapun, asas penulisan itu sendiri harus bermula daripada pengalaman.

Pengalaman akan digaul dengan imaginasi dan intelektual akan menghasilkan satu
bentuk pengalaman yang baru.

Tetapi bagaimanakah caranya untuk memperkayakan pengalaman?
Memperkayakan pengalaman ada dua cara. Pertama pengalaman secara langsung dan tidak secara langsung. Pengalaman secara langsung ialah pengalaman yang dilalui atau dilakukan berulangkali. Contohnya seperti pengalaman bekerja, melancong dan sebagainya.

Pengalaman secara tidak langsung ialah pengalaman yang berlaku tanpa diduga, ia mungkin berlaku sesekali atau dua kali. Contohnya seperti pengalaman terlibat dalam kemalangan, pengalaman dirompak, diculik atau peristiwa-peristiwa yang tidak pernah diduga akan dialami.

Pengalaman tidak secara langsung amat berharga sekali kerana tidak semua orang akan merasai seperti merasai pengalaman bekerja. Pelbagai bentuk pengalaman yang hanya sesekali dialami wajar untuk dicatat kerana ia amat berguna jika saudara berniat untuk menulis novel.

Sebagai contoh jika saudara pernah diculik, sudah tentu saudara sendiri dapat menceritakan secara lebih terperinci berbanding dengan penceritaan secara imaginasi.

Jumaat, 21 Januari 2011

KEMAHIRAN MENGUASAI BAHASA KREATIF

BAGAIMANAKAH keupayaan bahasa saudara sebelum menulis? Adakah saudara sudah berupaya menguasai bahasa dengan baik sebelum menghasilkan sesebuah novel umpamanya?

Ramai penulis menganggap novel Bumi Manusia, Rumah Kaca dan Anak Semua Bangsa karya Pramoedya Ananta Toer memiliki keupayaan bahasa yang mengkagumkan.

Walaupun saudara tidak memiliki keupayaan bahasa yang tinggi, itu bukanlah satu masalah besar jika saudara mahu menulis novel. Pengalaman menulis lama kelamaan akan memberikan input keupayaan dan penguasaan bahasa saudara supaya lebih baik.

Oleh kerana menulis memerlukan daya ingatan yang kreatif, penguasaan bahasa yang kreatif juga perlu kerana penulisan kreatif berbeza dengan penullisan deskreatif. Penulisan kreatif memerlukan penguasaan bahasa yang baik kerana ia juga akan menghasilkan karya yang baik.

Penilaian sesebuah novel bukan sahaja bergantung kepada cerita, plot, tema dan sebagainya tetapi penguasaan bahasa juga penting. Sesiapa yang mendalami dunia penulisan kreatif akan merasai kelainan penguasaan bahasa yang digunakan di dalam bilik darjah.

Ia amat berbeza dengan cara penulisan bercorak akademik atau keagamaan. Bagaimanapun, ini bukan bermakna penulisan kreatif mengenepikan hukum hakam akademik dalam bahasa.

Cuma apa yang penting, teknik pernulisan kreatif dan bukan kreatif mempunyai perbezaan yang dapat dikesan. Kebijaksanaan penulis memanipulasi bahasa bukan bermakna merosakkan bahasa tetapi bahasa akan menjadi lebih indah kerana kreatifnya penulis untuk menggambar sesuatu berbeza dengan bukan penulis.

Sebagai contoh.
Bukan kreatif. Matahari telah terbit dari sebelah timur dan sinarnya tidak begitu panas. Embun sudah lama kering.

Penulisan kreatif: Sinar mentari menguak dari sebelah timur. Cahayanya perlahan menembusi pohonan menghijau yang bertenggek di celah perbukitan. Titis embun sudah lama melangkah pergi sebaik sahaja mentari perlahan-lahan menumpahkan sinarnya.

No comments:

Post a Comment