Thursday, May 26, 2011

3 tips untuk menjadi seorang novelis

Takut kepada sesuatu yang kita tidak tahu atau tidak biasa adalah perkara biasa. Ramai yang ingin menceburi bidang penulisan novel tetapi berasa seperti hilang punca. Bukan sahaja soal 'Macam mana nak tulis novel' yang menjadi masalah tetapi ke mana hendak dihantar, macam mana hendak dihantar, kepada siapa, selepas itu perlu buat apa dan pelbagai perkara lagi yang menjadi seperti tembok penghalang kepada sebuah keinginan.

Kepada yang mempunyai ramai kawan penulis, mungkin agak kurang takut kerana mereka ada tempat untuk bertanya tetapi kepada yang 'bersendirian' mungkin akan terkapai-kapai dan ramai yang terus tenggelam begitu sahaja.

Mungkin apa yang saya tulis ini membuatkan sesetengah orang resah dan tidak suka tetapi mungkin juga ianya dapat membantu mereka yang ingin mencapai cita-cita untuk menjadi seorang novelis (tak kira apa sebab). Mungkin ada yang marah jika saya katakan bahawa, sesiapa sahaja boleh menjadi novelis asal tahu caranya tetapi itulah kebenaran yang tidak boleh kita sorokkan. Apakah yang kita perlukan?

1) Keunikan

Idea adalah percuma (kecuali anda membeli). Idea juga bersifat universal. Sukar sekali untuk kita katakan, ini idea asal kita kerana mungkin tanpa kita sedar, ianya pernah ditulis oleh seseorang yang berada beribu-ribu batu daripada kita. Oleh itu idea bukan satu soal yang perlu kita runsingkan tetapi apa yang perlu kita faham ialah tentang keunikan kita. Orang boleh curi idea kita tetapi orang tidak boleh curi 'keunikan' kita kerana ianya hanya milik kita seorang.

Saya ada keunikan saya dan anda ada keunikan anda. Jika kita menulis satu idea yang sama, apabila dibaca, ia menjadi dua cerita yang berlainan. Apa yang penting, anda harus mencari keunikan anda sendiri supaya anda berbeza daripada penulis-penulis yang lain. Dari situlah anda akan 'ditemui' oleh syarikat penerbitan. Mereka tidak mahukan klon dan anda sendiri tentu tidak suka menjadi klon sesiapa!

Keunikan ini adalah apa yang anda tahu, baca, tempuh, lihat, dengar, rasa, kepintaran, kecenderuungan dll. Semua ini diproses oleh diri anda di sepanjang usia. Oleh kerana pengalaman setiap individu itu berbeza maka keunikan yang terbentuk akan berbeza. Anda cuma perlu yakin dan mencarinya.

Ramai yang belum menjumpainya dan ramai yang tidak yakin malah lebih suka menjadi klon kepada penulis lain yang sudah terkenal.

Oleh itu, tips yang pertama: Jadilah diri anda sendiri dan biarkan orang lain menjadi diri mereka sendiri. Berbanggalah dengan keunikan anda.

2) Kraf penulisan

Kraf penulisan boleh dipelajari. Oleh itu ambilah masa dan ruang untuk mempelajarinya supaya penulisan kita boleh diperbaiki. Kraf penulisan yang baik boleh terbentuk daripada bakat, latihan yang banyak dan tunjuk ajar daripada guru-guru penulisan.

Bakat sahaja tanpa ilmu, hasil tulisan kita tidak akan berkembang atau mencapai tahap yang diperlukan oleh penerbit. Ilmu tanpa latihan yang banyak juga sepertilah membaca buku 'Bagaimana memandu kereta' tanpa menyentuh kereta. Oleh itu semuanya mesti seimbang.

Kraf penulisan ini sebenarnya merangkumi aspek yang sangat luas. Bermula daripada soal 'Bagaimana menulis novel' sehinggalah 'Bagaimana menyediakan manuskrip'. Semua perkara ini perlu dipelajari oleh sesiapa yang ingin menjaid novelis.

Ia memerlukan masa, ruang dan tenaga dan inilah yang sering dicari-cari oleh ramai penulis yang benar-benar komited dengan kerja-kerja mereka.

Manuksrip yang ditolak, boleh dikatakan 99% berpunca daripada masalah ini. Oleh itu sila ambil berat dan berikan perhatian yang lebih terhadap perkara ini jika ingin berjaya.

Tips yang kedua: Kuasai kraf penulisan.

3) Hubungan dua hala

Kita tidak perlu menjadi anak saudara penerbit untuk menjadi seorang novelis. Kita juga tidak perlu menjadi seseorang yang dikenali oleh mereka sehingga boleh diajak makan semeja kerana itu bukan soalnya.

Apa yang penting adalah kita menghormati editor-editor dan syarikat penerbitan. Kita harus tahu bagaimana caranya untuk berkomunikasi dengan mereka secara formal.

Ini termasuklah cara menghubungi mereka, cara menghantar proposal, cara memberi kerjasama, bersabar, bertolak-ansur dll.

Perkara ini juga boleh memberi kesan kepada karier kita pada masa depan. Ambil masa untuk mempelajari perkara ini kerana ianya sangat penting. Tidak guna kita menulis dengan baik tetapi dalam soal ini kita gagal!

Saya pernah menempuh pengalaman yang agak pelik pada tahun lalu apabila dimarahi oleh seorang penulis lama kerana tidak mahu menerbitkan manuskrip kanak-kanaknya. Apabila saya memberikan cadangan kepada beliau untuk menghantar ke syarikat-syarikat besar, saya tetap dimarahi kerana beliau mempunyai 1001 alasan untuk tidak berbuat demikian. Untuk pengetahuan anda, saya bukanlah penerbit buku kanak-kanak dan bukan tidak mahu membantunya tetapi seandainya satu hari nanti saya memerlukan manuskrip, saya tidak akan mencari dia!

Gambaran pertama (first impression) itu sangat penting. Jika e-mel yang anda hantar lintang-pukang, apa gambaran pertama yang anda berikan?

Saya bersyukur kerana saya telah didedahkan dengan cara dunia penulisan barat yang sangat tegas dalam soal ini. Saya dididik untuk sentiasa menghormati editor dan syarikat penerbitan kerana di barat, sedikit kesilapan di dalam e-mel kertas cadangan (proposal), surat pertanyaan (query letter), penulisan sinopsis akan menyebabkan manuskrip terus ditolak. Kerana apa? kerana di sana persaingannya sangat sengit. Kita mesti betul dalam setiap langkah yang kita ambil.

Apa yang saya perhatikan di Malaysia pula, perkara ini kurang diberi perhatian. Ramai yang menghantar e-mel pertanyaan (query letter) seperti menghantar e-mel kepada kawan serumah. Ada yang menulis menggunakan bahasa yang kasar, main-main, singkatan perkataan dan pelbagai lagi. Tolonglah sedar, editor bukan kawan kita apabila kita berurusan secara formal! Tolong tulis dengan cara formal dan beradab.

Saya selalu katakan bahawa, apabila kita menghantar manuskrip untuk penilaian, kita seolah pergi meminang anak orang. Kita kenalah beradab dan menghormati mereka barulah kita dilayan. Kita juga mesti sedar bahawa, bukan kita sahaja yang pergi 'meminang'. Di luar sana ada ramai lagi mereka yang menghantar manuskrip dengan cara yang baik maka adakah kita rasa kita akan dipilih jika kita 'meminang' macam meminta buah kelapa di belakang rumah?

Ini adalah satu perkara yang saya perlu tegur untuk kebaikan kita semua. Jika anda rasa ingin menjadi seorang novelis, anda harus tahu menghormati editor dan syarikat penerbitan walaupun mereka sememangnya kawan-kawan kita. Ada masanya kita boleh berkawan dan ada masanya kita perlu bersikap formal terutamanya dalam soal-soal penerbitan. Apalagi jika kita tidak pernah mengenali mereka langsung, cara yang terbaik adalah sentiasa menghormati mereka sebaik mungkin.

Semua e-mel yang dihantar mestilah ditulis dengan baik, ringkas, padat dan mempunyai ucapan 'terima kasih' bukan macam ini:

"Saya nk antar satu manuskrip kat syarikat awak, kalau awak rasa okey, saya boleh antar mss penuh...'

Itu bukan cara untuk berkomunikasi dengan editor kerana hal penerbitan adalah satu hal yang serius. Kita yang meminta mereka melaburkan kos penerbitan untuk kita, oleh itu kita hendaklah berurusan dengan cara yang terhormat. Bahasa mudahnya (untuk anak-anak), seperti kita hendak meminjam duit mereka. Kenalah minta dengan cara yang baik, barulah mereka hendak mengeluarkan duit.

Tips ketiga: Hormati editor dan syarikat penerbitan. Setiap urusan mesti dibuat secara formal dan tertib.

No comments:

Post a Comment