Thursday, April 14, 2011

Teknik-Teknik Menulis Novel Islami Tidak Serupa dengan Teknik Menulis Novel Konvensional (2)

Teknik-Teknik Menulis Novel Islami Tidak Serupa dengan Teknik Menulis Novel Konvensional (2)

Pada masa ini sudah terdapat puluhan judul novel-novel cinta Islami ala-ala Ayat-Ayat Cinta dalam pasaran.
Dalam Teori dan Teknik Surah Yusuf, faktor yang membezakan novel cinta konvensional dengan novel cinta Islami bukanlah ceritanya, tetapi adalah teknik penceritaannya.
SEbagai contoh, dalam penulisan novel cinta Islami, perbuatan-perbuatan mungkar, umpamanya tingkah laku pergi berdating, tidak boleh diceritakan menggunakan ayat-ayat naratif.
Di bawah ini adalah contoh penulisan novel cinta konvensional, di mana adegan dating ditulis dengan menggunakan ayat-ayat naratif:
Ahmad duduk berlunjur di atas katilnya. Rahim, rakan sekamarnya sedang membaca akhbar internet di meja tulisnya. Dalam kepalanya, Ahmad sedang merancang mahu berjumpa dengan Aminah apabila tiba cuti semester akan datang. Dia akan mengajak Aminah makan burger di restoran segera di bandar. Dia sudah lama tidak berjumpa Aminah dan hatinya sangat rindu mahu menatap wajah jelita anak Pak Itam itu, yang dikenali sejak di sekolah menengah lagi. Kali terakhir mereka berjumpa adalah sewaktu cuti hujung tahun lalu. Kebetulan kolej mereka memulakan cuti semester pada tarikh yang sama, lalu dapatlah mereka pulang ke kampung menaiki bas yang sama juga. Ahmad masih terkenang-kenang peristiwa manis duduk di sisi Aminah dalam perjalanan yang mengambil masa 4 jam itu.
Sebaliknya, dalam teknik penceritaan berdasarkan Teori Surah Yusuf, adegan yang mengandungi unsur-unsur perbuatan mungkar diceritakan menggunakan teknik dialog, seperti di bawah:
Ahmad yang duduk berlunjur dikatil memandang keluar jendela kamar asramanya. Dalam hatinya dia berkata, "Kalau aku dapat berjumpa dengan Aminah di restoran burger cuti semester nanti, alangkah bagusnya. Aduhai... sakitnya perasaanku merinduimu, Aminah."
Rahim yang sedang membaca akhbar Harakah dalam internet menoleh dan memandang rakan sekamarnya yang asyik termenung itu, lalu mengusik. Katanya, "Kamu merindui Aminah, ya?"
Ahmad pura-pura tidak mendengar kata-kata Rahim. Dia terus memandang ke luar jendela. Lalu Rahim berkata lagi, "Cuti semester lalu, ada orang ternampak kamu naik bas duduk berdua sebelah menyebelah dengan Aminah."
Mendengar kata-kata itu, Ahmad tersentak lalu memandang kepada Rahim dan bertanya, "Betulkah? Siapa?"
Kata Rahim, "Orang yang sedang dilamun cinta tidak perasaan kehadiran orang-orang lain di sekeliling mereka. Kamu fikir, kamu seorang sahaja menaiki bas itu?"
Ahmad membetulkan duduknya. Tadi dia berlunjur, sekarang dia bersila. "Siapa?" dia mengulangi pertanyaannya.
Dijawab oleh Rahim, katanya, "Aku!"

No comments:

Post a Comment