Thursday, April 14, 2011

rat Pilihan: Formula Kejayaan Novel-novel Remaja PTS

Surat Pilihan: Formula Kejayaan Novel-novel Remaja PTS

Assalamualaikum wr. wb.
Puan Ainon,
Pertamanya saya hendak mengucapkan terima kasih kepada puan yang telah begitu bermurah hati berkongsi ilmu dan maklumat, tip-tip dan kata-kata nasihat sekitar dunia penerbitan buku, sewaktu kunjungan puan ke syarikat kami Jun lalu, mahupun dalam taklimat dan bengkel PTS yang sempat saya hadiri.
Apabila saya dan beberapa rakan dipindahkan ke Jabatan Buku yang baru saja ditubuhkan pada 20 Jun 2008, antara perkara pertama yang kami cuba buat untuk mencari calon-calon penulis adalah dengan meniru kaedah yang PTS buat iaitu mengadakan majlis taklimat.
Kaedah yang dibuat oleh PTS dengan mengadakan taklimat dan bengkel secara percuma samalah dengan yang dibuat oleh Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd., syarikat pengendali pakej haji dan umrah, iaitu mengadakan kursus-kursus haji dan umrah secara percuma setiap minggu. Di kalangan yang hadir, ada juga segelintir jemaah yang pergi dengan pakej syarikat lain tetapi menumpang majlis ilmu di Andalusia. Itulah yang saya lihat antara sebab Andalusia cepat berkembang, selain faktor pengurusan yang cekap dan bimbingan yang mantap.
Selaku editor di Jabatan Buku yang belum sampai sebulan usianya ini (dipisahkan terus operasinya daripada Jabatan Majalah), saya dipertanggungjawabkan merintis jalan kepada majlis-majlis taklimat yang akan dibuat dari semasa ke semasa. Jumaat lalu, seperti saya ceritakan sedikit kepada puan semalam, kami adakan taklimat tertutup untuk kakitangan dalaman sahaja. Di kalangan 12 orang yang hadir (yang nampaknya berminat), ada dari kalangan editor, pegawai akaun, pegawai perhubungan awam dan artis rekaletak yang kebanyakannya memang pernah menulis.
Kami buat taklimat tertutup sebagai percubaan, di samping hendak memberi galakan dan rangsangan kepada kakitangan supaya menulis buku. Taklimat kepada umum akan kami adakan pada 9 Ogos depan dan ada diiklankan di dalam majalah ANIS Ogos (ini kelebihan ada majalah, seperti kata puan).
Di dalam taklimat Jumaat lalu, kami ambil 11 judul novel remaja PTS yang laku keras di pesta buku yang lepas, sebagai sample. Saya tidak ambil novel-novel remaja lain kerana tidak mahu bercampur-aduk. Lagipun, saya fikir, lebih baik saya ambil model yang sudah 'tested and proven'.
Setelah membelek novel-novel remaja PTS dan membaca satu dua judul, saya mula faham novel ‘shariah compliant’ yang bagaimana yang disukai oleh remaja. Antara yang dapat saya rumuskan:
1. Remaja suka watak yang bukan perfect sangat atau ‘skema’. Sebaliknya remaja suka watak yang mungkin perfect dalam beberapa aspek, tapi ada ciri-ciri kelemahan yang ketara dalam aspek tertentu. Itulah watak yang biasa-biasa mereka dapat temui dalam lingkungan mereka.
2. Remaja suka unsur humor atau kelakar. Oleh itu, penulis harus cuba selitkan unsur humor di tempat yang sesuai. Antaranya dengan mengeksploit kelemahan watak untuk timbulkan adegan-adegan lucu.
3. Remaja suka kepada ekspresi keremajaan, bukan ekspresi keemakan atau ekspresi orang tua. Misalnya, remaja lebih senang menerima saranan atau nasihat daripada rakan sebaya berbanding daripada orang tua. Oleh itu, penulis perlu meletakkan diri seperti kawan yang menasihati kawannya yang lebih muda, bukan seperti ibu atau bapa menasihati anaknya (seperti kata Ain Maisarah).
4. Remaja suka membaca cerita yang ‘happy ending’. Oleh itu, penulis novel remaja harus seboleh mungkin cuba menamatkan ceritanya secara ‘happy ending’, bukan sebaliknya. (Perkara ini telah saya beritahu kepada calon penulis yang menghantar sinopsis sebelum ini.)
Dengan memahami remaja sebagai mad’u, barulah penulis novel remaja yang berjiwa Islam dapat menyampaikan nilai-nilai didikan melalui cara dan gaya yang mudah diterima oleh remaja, walaupun si penulis bukan remaja lagi.
Saya beritahu peserta-peserta taklimat itu, Enid Blyton masih menghasilkan novel-novel kanak-kanak dan remaja dalam usianya 40-an. Sudah jauh dari zaman remajanya sendiri. Beliau menulis watak-watak para pelajarnya dan watak beliau sendiri serta rakan-rakan di zaman remajanya.
Jadi, saya beranggapan, kita yang sudah jadi emak-emak atau ayah-ayah, masih boleh menulis karya untuk remaja, kerana kita pernah remaja, sesetengahnya ada anak remaja, ada adik yang masih remaja, ada jiran remaja dan ada juga yang menjadi guru kepada remaja (kebetulan salah seorang calon penulis yang sinopsis novel remajanya telah kami luluskan adalah guru di sebuah sekolah menengah).
Bagaimanapun, tentang sasaran pembaca, saya rasa kami mungkin akan meneruskan tradisi kami untuk memfokus kepada sasaran fasa Madinah. Lagipun, melalui ANIS dan ASUH serta siri-siri dokumentari dan drama-drama tv yang diterbitkan oleh syarikat bersekutu kami, kami sudah dikenali sebagai penerbit bahan berunsur Islam. Di sini, mungkin pada masa akan datang (apabila buku kami sudah banyak - tolong doakan) maka ada ruang untuk tampung-menampung antara PTS dan syarikat kami dari segi memenuhi kehendak audien sasaran yang agak berbeza.
Bengkel penulisan cerita-cerita tokoh sejarah yang puan kendalikan semalam banyak memberi input baru kepada saya dan rakan editor. Kami baru ada satu novel sejarah, Putera Lembah Bakkah, dan akan cuba meneroka genre ini lebih jauh kerana ia dekat dengan misi dan visi kami. Terima kasih banyak atas input-input dan perkongsian pengalaman daripada puan.
Moga Allah terus memberkati usaha puan dan PTS. Mohon doa dan tunjuk ajar lagi. Wassalam.
ZS 

No comments:

Post a Comment