Thursday, April 14, 2011

Format Proposal Buku Bukan Fiksyen

Format Proposal Buku Bukan Fiksyen


Apabila tuan hendak menulis buku nonfiksyen untuk PTS, lakukan perkara di bawah:

1. Tulis surat emel kepada PTS.

2. Tulis cadangan buku itu dalam emel, bukan dalam fail attachment, sebab editor tidak suka mengklik banyak kali.

3. Tulis antara 1-4 halaman sahaja.

4. Beri sedikit CV tuan yang relevan.

Kertas cadangan perlu mengandungi perkara-perkara berikut:

1. Judul buku.

2. Sinopsis atau penerangan berkenaan tajuk yang ingin ditulis.

3. Senarai lengkap isi kandungan buku.

4. Anggaran muka surat dan tarikh boleh serah manuskrip.

5. Senarai buku yang menjadi saingan di pasaran.

6. Kelebihan buku itu berbanding buku yang sudah ada dalam pasaran.

7. Siapa pembeli sasaran.

9. Bagaimana penulis dapat membantu PTS meningkatkan jualan buku itu

Realiti dalam Karya Sastera: Prinsip Surah Yusuf

Realiti dalam Karya Sastera: Prinsip Surah Yusuf


Dalam teori sastera aliran realisme konvensional, karya sastera berfungsi menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku dalam dunia realiti. Berdasarkan prinsip ini, karya sastera boleh mendedahkan semua bentuk perkara yang baik dan yang tidak baik seadanya.
Dalam teori sastera Islami aliran surah Yusuf, segala maklmuat yang disampaikan dalam surah itu adalah kisah benar, yakni realiti. Jadi surah Yusuf menceritakan hanya yang benar sahaja, justeru peristiwa abang-abang yang sanggup membunuh adik sendiri disebabkan berebut kasih ayah semata-mata, dan perisitiwa perempuan-perempuan Mesir yang terpesona apabila memandang Nabi Yusuf sehingga mereka tidak sedar telah melukai jari mereka sendiri, adalah kejadian benar.
Surah Yusuf hanya menceritakan apa yang benar, maka di manakah perbezaan antara teori realisme konvensional dengan teori realisme dalam sastera Islami?
Dalam teori sastera konvensional, segala yang berlaku dalam realiti dibenarkan dipaparkan dalam karya, dan pengarang diberikan kebebasan mutlak memilih mana realiti yang mahu dipaparkan dan mana yang tidak. Pengarang juga diberikan kebebasan menuliskan realiti itu dengan apa jua teknik yang dipilihnya.
Dalam erti kata lain, dalam teori sastera konvensional pengarang diberikan kebebasan mutlak dalam 4 perkara:
a. Kebebasan Memilih Tema
Dalam teori sastera konvensional, pengarang mempunyai kebebasan mutlak memilih apa sahaja tema bagi karyanya. Pengarang Islami diberikan kebebasan memilih tema sama seperti pengarang konvensional dalam ertikata tema dalam sastera Islami adalah terbuka. Sebagai contoh, jika pengarang konvensional bebas memasukkan unsur-unsur maksiat dalam sastera, maka pengarang Islami juga bebas melakukannya. Ini berdasarkan dalam surah Yusuf terdapat banyak tema perbuatan mungkar seperti anak durhaka, godaan perempuan, isteri curang, suami dayus, dan pembunuhan.
b. Kebebasan Memilih Peristiwa
Pengarang konvensional diberi kebebasan memlilih apa sahaja peristiwa bagi dipaparkan dalam karyanya, tetapi pengarang sastera mempunyai kebebasan terbatas. Sebagai contoh, berdasarkan surah Yusuf, bagi tema pembunuhan, tidak ada paparan teknikal bagaimana perbuatan abang-abang Nabi Yusuf cuba membunuh beliau. Ini menunjukkan pengarang Islami tidak dibenarkan melukiskan aksi pembunuhan secara terperinci.
Demikian pula, bagi tema jatuh cinta, dalam surah Yusuf tidak ada paparan teknikal tentang tingkah laku Zulaikha yang khayal-berahi dalam lamunan percintaan. Ini menunjukkan pengarang Islami tidak dibenarkan melukiskan secara teknikal babak-babak percintaan yang dapat mencetuskan perasaan berahi pada pembaca.
c. Kebebasan Memilih Objek
Pengarang konvensional diberi kebebasan memilih sebarang objek yang mahu digambarkan dengan terperinci, tetapi pengarang sastera Islami mempunyai kebebasan terbatas. Sebagai contoh, pengarang konvensional dibenarkan menggambarkan dengan terperinci bentuk tubuh badan semua watak-wataknya, apa lagi bentuk tubuh badan perempuan yang cantik-cantik.
Dalam surah Yusuf tidak ada maklumat sama sekali tentang ciri-ciri fizikal ketampanan Nabi Yusuf dan kejelitaan isteri al-Aziz. Ini menunjukkan pengarang Islami tidak dibenarkan menerangkan rupa bentuk tubuh badan dan pakaian yang dipakai oleh watak-watak yang terlibat dalam tema percintaan, sebagaimana dalam kes watak Nabi Yusuf dan isteri al-Aziz disebabkan mereka berdua terlibat dalam tema cinta.
d. Kebebasan Memilih Kosa Kata
Pengarang konvensional diberikan kebebasan mutlak memilih kosa kata tetapi tidak bagi pengarang Islami. Pengarang konvensional bebas menggunakan sebarang perkataan dan frasa sebagaimana yang digunakan dalam alam realiti. Kebebasan mutlak seperti itu tidak diberikan kepada pengarang Islami.
Dalam surah Yusuf, tidak terdapat perkataan-perkataan yang dianggap bahasa kotor, bahasa lucah, bahasa kasar dan bahasa nista. Ini menunjukkan pengarang Islami tidak dibenarkan menggunakan kosa kata jenis itu dalam berkarya.
Sebagai kesimpulan, manakala teori sastera konvensional memberikan kebebasan mutlak kepada pengarang menggambarkan dunia realiti, teori sastera Islami aliran surah Yusuf tidak memberikan kebebasan mutlak seperti itu. Ada realiti yang dibenarkan dipaparkan dengan terperinci dalam karya sastera manakala ada realiti yang hanya boleh 'diceritakan' tetapi tidak boleh 'digambarkan'.

KarnaDya,

Sewaktu kita berkunjung ke booth KarnaDya, kita sempat berbincang dengan Puan Aina Emir tentang strategi penerbitan jangka masa pendek dan jangka masa panjang bagi PTS dan KD, serta rancangan bagi persiapan pesta buku 2008.

"Kita akan fokus pada novel remaja. Kita tidak mahu manuskrip novel cinta," kata Puan Aina Emir kepada saya.

Saya faham. Yang dimaksudkan oleh Puan Aina adalah novel cinta macam yang berlambak-lambak dalam pasaran sekarang, yang penuh dengan ayat-ayat yang tidak halal dibaca.

Saya pula berkata kepada Puan Aina Emir, "PTS mahu novel cinta, tetapi hanya yang ditulis menggunakan teknik Surah Yusuf sahaja," kata saya. "Tidak ada dating-dating, tidak ada pegang-pegang tangan, tidak ada salam lelaki-perempuan, tidak ada pergaulan bebas lelaki-perempuan bukan muhrim, tidak ada teruna-dara naik motosikal berdua, tidak ada rindu-rindu, tidak ada feeling-feeling... Yang macam itu sahaja yang PTS mahu."

Sebelum berpisah, PTS dan KD setuju akan menerbitkan novel-novel remaja untuk remaja lelaki sebagai pesiapan Pesta Buku 2008.

Menuliskan Dialog Teknik Surah Yusuf

Menuliskan Dialog Teknik Surah Yusuf

Tuan Hamim adalah salah seorang bakat yang baru saya temui. Di bawah adalah karya beliau yang saya salin daripada blognya:
........................ 
Berikut saya siarkan drama pendek yang menggunakan Teknik Surah Yusuf.
Yusuf merapatkan lutut ke dada. Tangannya menekup telinga.
Puan Bainon menegur, “Kamu kelihatan gelisah sekali.”
Yusuf merenggangkan sedikit tangan yang melekap di telinga. “Di luar guruh dan kilat sabung-menyabung, berdentam-dentum bunyinya.”
“Penakut rupanya kamu ini. Mari lihat ke luar tingkap.”
Yusuf tetap dengan duduknya. Puan Bainon bangun lantas berjalan mendekati tingkap. Langsir disingkap. Yusuf menutup muka dengan tapak tangan.
“Cuba kamu lihat. Antara guruh dan kilat, manakah yang sampai dahulu ke pancaindera kita?”
Yusuf melihat ke luar tingkap melalui celah jari. Apabila guruh berdentum dia menyorokkan muka semua. “Puan, tolong tarik semula langsir.”
Puan Bainon tergelak kecil. Dia menutup semula tingkap dengan langsir dan menghampiri Yusuf. “Sudah dapat jawapan kepada soalan saya?”
“Kilat muncul dahulu di langit diikuti dengan bunyi guruh. Allah menciptakan cahaya bergerak lebih laju daripada bunyi.”
Bunyi guruh kedengaran sayup.
Nota Teknik Surah Yusuf:
  1. Aksi atau perbuatan watak atau pekata diletakkan di hadapan diikuti dengan dialog. Contoh: Puan Bainon menegur, “Kamu kelihatan gelisah sekali.”
  2. Ayat naratif menggunakan teknik ’showing’ iaitu menunjukkan perilaku watak bukan ‘telling’ iaitu memberitahu sifat watak. Contoh: Yusuf merapatkan lutut ke dada. Tangannya menekup telinga. Penerangan: Yusuf takut dengan bunyi guruh tetapi penulis tidak menyatakan pada ayat naratif sebalik menunjukkan perilaku orang yang takut dengan guruh iaitu menekup telinga. Sebaliknya melalui dialog, watak Puan Bainon berkata, “Penakut rupanya kamu ini.”
  3. Penulisan aksi di hadapan diikuti dengan dialog menepati penulisan al-Quran dan hadis. Pekata diletakkan di hadapan baru apa yang dikatakannya (dialog). Maha Besar Allah yang menciptakan cahaya (visual/aksi) bergerak lebih cepat daripada bunyi (audio/dialog). Begitulah Allah menunjukkan teknik terbaik menulis cerita. Pembaca lebih terangsang imaginasinya jika diterangkan aksi (visual) dahulu diikuti dialog (visual).
Allah lebih mengetahui.
Yahamim: Buat dahulu baru cakap.
NOTA: Karya asalnya di blog ini.

Teknik-Teknik Menulis Novel Islami Tidak Serupa dengan Teknik Menulis Novel Konvensional (2)

Teknik-Teknik Menulis Novel Islami Tidak Serupa dengan Teknik Menulis Novel Konvensional (2)

Pada masa ini sudah terdapat puluhan judul novel-novel cinta Islami ala-ala Ayat-Ayat Cinta dalam pasaran.
Dalam Teori dan Teknik Surah Yusuf, faktor yang membezakan novel cinta konvensional dengan novel cinta Islami bukanlah ceritanya, tetapi adalah teknik penceritaannya.
SEbagai contoh, dalam penulisan novel cinta Islami, perbuatan-perbuatan mungkar, umpamanya tingkah laku pergi berdating, tidak boleh diceritakan menggunakan ayat-ayat naratif.
Di bawah ini adalah contoh penulisan novel cinta konvensional, di mana adegan dating ditulis dengan menggunakan ayat-ayat naratif:
Ahmad duduk berlunjur di atas katilnya. Rahim, rakan sekamarnya sedang membaca akhbar internet di meja tulisnya. Dalam kepalanya, Ahmad sedang merancang mahu berjumpa dengan Aminah apabila tiba cuti semester akan datang. Dia akan mengajak Aminah makan burger di restoran segera di bandar. Dia sudah lama tidak berjumpa Aminah dan hatinya sangat rindu mahu menatap wajah jelita anak Pak Itam itu, yang dikenali sejak di sekolah menengah lagi. Kali terakhir mereka berjumpa adalah sewaktu cuti hujung tahun lalu. Kebetulan kolej mereka memulakan cuti semester pada tarikh yang sama, lalu dapatlah mereka pulang ke kampung menaiki bas yang sama juga. Ahmad masih terkenang-kenang peristiwa manis duduk di sisi Aminah dalam perjalanan yang mengambil masa 4 jam itu.
Sebaliknya, dalam teknik penceritaan berdasarkan Teori Surah Yusuf, adegan yang mengandungi unsur-unsur perbuatan mungkar diceritakan menggunakan teknik dialog, seperti di bawah:
Ahmad yang duduk berlunjur dikatil memandang keluar jendela kamar asramanya. Dalam hatinya dia berkata, "Kalau aku dapat berjumpa dengan Aminah di restoran burger cuti semester nanti, alangkah bagusnya. Aduhai... sakitnya perasaanku merinduimu, Aminah."
Rahim yang sedang membaca akhbar Harakah dalam internet menoleh dan memandang rakan sekamarnya yang asyik termenung itu, lalu mengusik. Katanya, "Kamu merindui Aminah, ya?"
Ahmad pura-pura tidak mendengar kata-kata Rahim. Dia terus memandang ke luar jendela. Lalu Rahim berkata lagi, "Cuti semester lalu, ada orang ternampak kamu naik bas duduk berdua sebelah menyebelah dengan Aminah."
Mendengar kata-kata itu, Ahmad tersentak lalu memandang kepada Rahim dan bertanya, "Betulkah? Siapa?"
Kata Rahim, "Orang yang sedang dilamun cinta tidak perasaan kehadiran orang-orang lain di sekeliling mereka. Kamu fikir, kamu seorang sahaja menaiki bas itu?"
Ahmad membetulkan duduknya. Tadi dia berlunjur, sekarang dia bersila. "Siapa?" dia mengulangi pertanyaannya.
Dijawab oleh Rahim, katanya, "Aku!"

PTS FORTUNA: Ciri-ciri Wajib pada Novel Islami

PTS FORTUNA: Ciri-ciri Wajib pada Novel Islami

Kita banyak menerima manuskrip daripada penulis-penulis novel tetapi selepas dibaca didapati tidak dapat diterima. Manuskrip-manuskrip itu dihantar oleh mereka yang belum pernah mengikuti kursus penulisan PTS.

Untuk maklumat saudara yang belum pernah hadir dalam kursus penulisan kreatif PTS, berikut adalah kriteria yang menyebabkan manuskrip novel ditolak:



  1. Watak utama novel itu bukan watak ideal menurut pandangan Islam, umpamanya watak itu seorang yang pendendam, ataupun watak itu mempunyai nilai-nilai yang tidak selaras dengan Islam, umpamanya watak itu tidak taat kepada suami.

  2. Cerita utama dalam novel itu bukan berdasarkan kisah sebenar, tetapi direka-reka semata-mata berdasarkan khayalan penulis. Umpamanya penulis tidak pernah kenal mana-mana penyanyi kelab malam tetapi cerita itu adalah berkenaan kehidupan seorang penyanyi kelab malam yang akhirnya bertaubat. Ataupun cerita itu berdasarkan kisah pasangan kahwin campur sedangkan penulis tidak pernah pengalaman ataupun melakukan penyelidikan ataupun kajian berkenaan gaya hidup pasangan kahwin campur.

  3. Dalam novel itu terdapat babak-babak pergaulan asmara lelaki perempuan yang tidak dibenarkan dalam Islam, sebagai contoh babak di mana pasangan bertunang yang berpegang-pegang tangan ataupun pasangan kekasih bersiar-siar bersama.

Tiga kriteria di atas adalah ujian asid bagi menilai manuskrip yang diterima. Ertinya, jika didapati ada salah satu unsur itu, maka manuskrip itu ditolak.

Ini bukan bermakna kita tidak mencari kisah-kisah cinta. Kita mencari kisah-kisah cinta yang ditulis dengan menggunakan tekni-teknik penulisan Islami. Inilah sebabnya saudara wajib hadir kursus penulisan PTS sebelum saudara menuliskan novel saudara.

rat Pilihan: Formula Kejayaan Novel-novel Remaja PTS

Surat Pilihan: Formula Kejayaan Novel-novel Remaja PTS

Assalamualaikum wr. wb.
Puan Ainon,
Pertamanya saya hendak mengucapkan terima kasih kepada puan yang telah begitu bermurah hati berkongsi ilmu dan maklumat, tip-tip dan kata-kata nasihat sekitar dunia penerbitan buku, sewaktu kunjungan puan ke syarikat kami Jun lalu, mahupun dalam taklimat dan bengkel PTS yang sempat saya hadiri.
Apabila saya dan beberapa rakan dipindahkan ke Jabatan Buku yang baru saja ditubuhkan pada 20 Jun 2008, antara perkara pertama yang kami cuba buat untuk mencari calon-calon penulis adalah dengan meniru kaedah yang PTS buat iaitu mengadakan majlis taklimat.
Kaedah yang dibuat oleh PTS dengan mengadakan taklimat dan bengkel secara percuma samalah dengan yang dibuat oleh Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd., syarikat pengendali pakej haji dan umrah, iaitu mengadakan kursus-kursus haji dan umrah secara percuma setiap minggu. Di kalangan yang hadir, ada juga segelintir jemaah yang pergi dengan pakej syarikat lain tetapi menumpang majlis ilmu di Andalusia. Itulah yang saya lihat antara sebab Andalusia cepat berkembang, selain faktor pengurusan yang cekap dan bimbingan yang mantap.
Selaku editor di Jabatan Buku yang belum sampai sebulan usianya ini (dipisahkan terus operasinya daripada Jabatan Majalah), saya dipertanggungjawabkan merintis jalan kepada majlis-majlis taklimat yang akan dibuat dari semasa ke semasa. Jumaat lalu, seperti saya ceritakan sedikit kepada puan semalam, kami adakan taklimat tertutup untuk kakitangan dalaman sahaja. Di kalangan 12 orang yang hadir (yang nampaknya berminat), ada dari kalangan editor, pegawai akaun, pegawai perhubungan awam dan artis rekaletak yang kebanyakannya memang pernah menulis.
Kami buat taklimat tertutup sebagai percubaan, di samping hendak memberi galakan dan rangsangan kepada kakitangan supaya menulis buku. Taklimat kepada umum akan kami adakan pada 9 Ogos depan dan ada diiklankan di dalam majalah ANIS Ogos (ini kelebihan ada majalah, seperti kata puan).
Di dalam taklimat Jumaat lalu, kami ambil 11 judul novel remaja PTS yang laku keras di pesta buku yang lepas, sebagai sample. Saya tidak ambil novel-novel remaja lain kerana tidak mahu bercampur-aduk. Lagipun, saya fikir, lebih baik saya ambil model yang sudah 'tested and proven'.
Setelah membelek novel-novel remaja PTS dan membaca satu dua judul, saya mula faham novel ‘shariah compliant’ yang bagaimana yang disukai oleh remaja. Antara yang dapat saya rumuskan:
1. Remaja suka watak yang bukan perfect sangat atau ‘skema’. Sebaliknya remaja suka watak yang mungkin perfect dalam beberapa aspek, tapi ada ciri-ciri kelemahan yang ketara dalam aspek tertentu. Itulah watak yang biasa-biasa mereka dapat temui dalam lingkungan mereka.
2. Remaja suka unsur humor atau kelakar. Oleh itu, penulis harus cuba selitkan unsur humor di tempat yang sesuai. Antaranya dengan mengeksploit kelemahan watak untuk timbulkan adegan-adegan lucu.
3. Remaja suka kepada ekspresi keremajaan, bukan ekspresi keemakan atau ekspresi orang tua. Misalnya, remaja lebih senang menerima saranan atau nasihat daripada rakan sebaya berbanding daripada orang tua. Oleh itu, penulis perlu meletakkan diri seperti kawan yang menasihati kawannya yang lebih muda, bukan seperti ibu atau bapa menasihati anaknya (seperti kata Ain Maisarah).
4. Remaja suka membaca cerita yang ‘happy ending’. Oleh itu, penulis novel remaja harus seboleh mungkin cuba menamatkan ceritanya secara ‘happy ending’, bukan sebaliknya. (Perkara ini telah saya beritahu kepada calon penulis yang menghantar sinopsis sebelum ini.)
Dengan memahami remaja sebagai mad’u, barulah penulis novel remaja yang berjiwa Islam dapat menyampaikan nilai-nilai didikan melalui cara dan gaya yang mudah diterima oleh remaja, walaupun si penulis bukan remaja lagi.
Saya beritahu peserta-peserta taklimat itu, Enid Blyton masih menghasilkan novel-novel kanak-kanak dan remaja dalam usianya 40-an. Sudah jauh dari zaman remajanya sendiri. Beliau menulis watak-watak para pelajarnya dan watak beliau sendiri serta rakan-rakan di zaman remajanya.
Jadi, saya beranggapan, kita yang sudah jadi emak-emak atau ayah-ayah, masih boleh menulis karya untuk remaja, kerana kita pernah remaja, sesetengahnya ada anak remaja, ada adik yang masih remaja, ada jiran remaja dan ada juga yang menjadi guru kepada remaja (kebetulan salah seorang calon penulis yang sinopsis novel remajanya telah kami luluskan adalah guru di sebuah sekolah menengah).
Bagaimanapun, tentang sasaran pembaca, saya rasa kami mungkin akan meneruskan tradisi kami untuk memfokus kepada sasaran fasa Madinah. Lagipun, melalui ANIS dan ASUH serta siri-siri dokumentari dan drama-drama tv yang diterbitkan oleh syarikat bersekutu kami, kami sudah dikenali sebagai penerbit bahan berunsur Islam. Di sini, mungkin pada masa akan datang (apabila buku kami sudah banyak - tolong doakan) maka ada ruang untuk tampung-menampung antara PTS dan syarikat kami dari segi memenuhi kehendak audien sasaran yang agak berbeza.
Bengkel penulisan cerita-cerita tokoh sejarah yang puan kendalikan semalam banyak memberi input baru kepada saya dan rakan editor. Kami baru ada satu novel sejarah, Putera Lembah Bakkah, dan akan cuba meneroka genre ini lebih jauh kerana ia dekat dengan misi dan visi kami. Terima kasih banyak atas input-input dan perkongsian pengalaman daripada puan.
Moga Allah terus memberkati usaha puan dan PTS. Mohon doa dan tunjuk ajar lagi. Wassalam.
ZS