Thursday, May 26, 2011

3 tips untuk menjadi seorang novelis

Takut kepada sesuatu yang kita tidak tahu atau tidak biasa adalah perkara biasa. Ramai yang ingin menceburi bidang penulisan novel tetapi berasa seperti hilang punca. Bukan sahaja soal 'Macam mana nak tulis novel' yang menjadi masalah tetapi ke mana hendak dihantar, macam mana hendak dihantar, kepada siapa, selepas itu perlu buat apa dan pelbagai perkara lagi yang menjadi seperti tembok penghalang kepada sebuah keinginan.

Kepada yang mempunyai ramai kawan penulis, mungkin agak kurang takut kerana mereka ada tempat untuk bertanya tetapi kepada yang 'bersendirian' mungkin akan terkapai-kapai dan ramai yang terus tenggelam begitu sahaja.

Mungkin apa yang saya tulis ini membuatkan sesetengah orang resah dan tidak suka tetapi mungkin juga ianya dapat membantu mereka yang ingin mencapai cita-cita untuk menjadi seorang novelis (tak kira apa sebab). Mungkin ada yang marah jika saya katakan bahawa, sesiapa sahaja boleh menjadi novelis asal tahu caranya tetapi itulah kebenaran yang tidak boleh kita sorokkan. Apakah yang kita perlukan?

1) Keunikan

Idea adalah percuma (kecuali anda membeli). Idea juga bersifat universal. Sukar sekali untuk kita katakan, ini idea asal kita kerana mungkin tanpa kita sedar, ianya pernah ditulis oleh seseorang yang berada beribu-ribu batu daripada kita. Oleh itu idea bukan satu soal yang perlu kita runsingkan tetapi apa yang perlu kita faham ialah tentang keunikan kita. Orang boleh curi idea kita tetapi orang tidak boleh curi 'keunikan' kita kerana ianya hanya milik kita seorang.

Saya ada keunikan saya dan anda ada keunikan anda. Jika kita menulis satu idea yang sama, apabila dibaca, ia menjadi dua cerita yang berlainan. Apa yang penting, anda harus mencari keunikan anda sendiri supaya anda berbeza daripada penulis-penulis yang lain. Dari situlah anda akan 'ditemui' oleh syarikat penerbitan. Mereka tidak mahukan klon dan anda sendiri tentu tidak suka menjadi klon sesiapa!

Keunikan ini adalah apa yang anda tahu, baca, tempuh, lihat, dengar, rasa, kepintaran, kecenderuungan dll. Semua ini diproses oleh diri anda di sepanjang usia. Oleh kerana pengalaman setiap individu itu berbeza maka keunikan yang terbentuk akan berbeza. Anda cuma perlu yakin dan mencarinya.

Ramai yang belum menjumpainya dan ramai yang tidak yakin malah lebih suka menjadi klon kepada penulis lain yang sudah terkenal.

Oleh itu, tips yang pertama: Jadilah diri anda sendiri dan biarkan orang lain menjadi diri mereka sendiri. Berbanggalah dengan keunikan anda.

2) Kraf penulisan

Kraf penulisan boleh dipelajari. Oleh itu ambilah masa dan ruang untuk mempelajarinya supaya penulisan kita boleh diperbaiki. Kraf penulisan yang baik boleh terbentuk daripada bakat, latihan yang banyak dan tunjuk ajar daripada guru-guru penulisan.

Bakat sahaja tanpa ilmu, hasil tulisan kita tidak akan berkembang atau mencapai tahap yang diperlukan oleh penerbit. Ilmu tanpa latihan yang banyak juga sepertilah membaca buku 'Bagaimana memandu kereta' tanpa menyentuh kereta. Oleh itu semuanya mesti seimbang.

Kraf penulisan ini sebenarnya merangkumi aspek yang sangat luas. Bermula daripada soal 'Bagaimana menulis novel' sehinggalah 'Bagaimana menyediakan manuskrip'. Semua perkara ini perlu dipelajari oleh sesiapa yang ingin menjaid novelis.

Ia memerlukan masa, ruang dan tenaga dan inilah yang sering dicari-cari oleh ramai penulis yang benar-benar komited dengan kerja-kerja mereka.

Manuksrip yang ditolak, boleh dikatakan 99% berpunca daripada masalah ini. Oleh itu sila ambil berat dan berikan perhatian yang lebih terhadap perkara ini jika ingin berjaya.

Tips yang kedua: Kuasai kraf penulisan.

3) Hubungan dua hala

Kita tidak perlu menjadi anak saudara penerbit untuk menjadi seorang novelis. Kita juga tidak perlu menjadi seseorang yang dikenali oleh mereka sehingga boleh diajak makan semeja kerana itu bukan soalnya.

Apa yang penting adalah kita menghormati editor-editor dan syarikat penerbitan. Kita harus tahu bagaimana caranya untuk berkomunikasi dengan mereka secara formal.

Ini termasuklah cara menghubungi mereka, cara menghantar proposal, cara memberi kerjasama, bersabar, bertolak-ansur dll.

Perkara ini juga boleh memberi kesan kepada karier kita pada masa depan. Ambil masa untuk mempelajari perkara ini kerana ianya sangat penting. Tidak guna kita menulis dengan baik tetapi dalam soal ini kita gagal!

Saya pernah menempuh pengalaman yang agak pelik pada tahun lalu apabila dimarahi oleh seorang penulis lama kerana tidak mahu menerbitkan manuskrip kanak-kanaknya. Apabila saya memberikan cadangan kepada beliau untuk menghantar ke syarikat-syarikat besar, saya tetap dimarahi kerana beliau mempunyai 1001 alasan untuk tidak berbuat demikian. Untuk pengetahuan anda, saya bukanlah penerbit buku kanak-kanak dan bukan tidak mahu membantunya tetapi seandainya satu hari nanti saya memerlukan manuskrip, saya tidak akan mencari dia!

Gambaran pertama (first impression) itu sangat penting. Jika e-mel yang anda hantar lintang-pukang, apa gambaran pertama yang anda berikan?

Saya bersyukur kerana saya telah didedahkan dengan cara dunia penulisan barat yang sangat tegas dalam soal ini. Saya dididik untuk sentiasa menghormati editor dan syarikat penerbitan kerana di barat, sedikit kesilapan di dalam e-mel kertas cadangan (proposal), surat pertanyaan (query letter), penulisan sinopsis akan menyebabkan manuskrip terus ditolak. Kerana apa? kerana di sana persaingannya sangat sengit. Kita mesti betul dalam setiap langkah yang kita ambil.

Apa yang saya perhatikan di Malaysia pula, perkara ini kurang diberi perhatian. Ramai yang menghantar e-mel pertanyaan (query letter) seperti menghantar e-mel kepada kawan serumah. Ada yang menulis menggunakan bahasa yang kasar, main-main, singkatan perkataan dan pelbagai lagi. Tolonglah sedar, editor bukan kawan kita apabila kita berurusan secara formal! Tolong tulis dengan cara formal dan beradab.

Saya selalu katakan bahawa, apabila kita menghantar manuskrip untuk penilaian, kita seolah pergi meminang anak orang. Kita kenalah beradab dan menghormati mereka barulah kita dilayan. Kita juga mesti sedar bahawa, bukan kita sahaja yang pergi 'meminang'. Di luar sana ada ramai lagi mereka yang menghantar manuskrip dengan cara yang baik maka adakah kita rasa kita akan dipilih jika kita 'meminang' macam meminta buah kelapa di belakang rumah?

Ini adalah satu perkara yang saya perlu tegur untuk kebaikan kita semua. Jika anda rasa ingin menjadi seorang novelis, anda harus tahu menghormati editor dan syarikat penerbitan walaupun mereka sememangnya kawan-kawan kita. Ada masanya kita boleh berkawan dan ada masanya kita perlu bersikap formal terutamanya dalam soal-soal penerbitan. Apalagi jika kita tidak pernah mengenali mereka langsung, cara yang terbaik adalah sentiasa menghormati mereka sebaik mungkin.

Semua e-mel yang dihantar mestilah ditulis dengan baik, ringkas, padat dan mempunyai ucapan 'terima kasih' bukan macam ini:

"Saya nk antar satu manuskrip kat syarikat awak, kalau awak rasa okey, saya boleh antar mss penuh...'

Itu bukan cara untuk berkomunikasi dengan editor kerana hal penerbitan adalah satu hal yang serius. Kita yang meminta mereka melaburkan kos penerbitan untuk kita, oleh itu kita hendaklah berurusan dengan cara yang terhormat. Bahasa mudahnya (untuk anak-anak), seperti kita hendak meminjam duit mereka. Kenalah minta dengan cara yang baik, barulah mereka hendak mengeluarkan duit.

Tips ketiga: Hormati editor dan syarikat penerbitan. Setiap urusan mesti dibuat secara formal dan tertib.

tips tentang penghantaran manuskrip

Saya ingin kongsikan 3 tips tentang penghantaran manuskrip semoga dapat membantu sesiapa yang memerlukannya:

1)Jangan terburu-buru menghantar manuskrip anda kepada editor.

Jangan hari ini siap, esok terus hantar. Walaupun hati anda sudah 'menggelegak' untuk menghantarnya, anda kena tunggu sekurang-kurangnya 3 hari! Selepas itu baca balik, jika sudah tidak sabar-sabar juga hendak hantar, hantarlah jika anda rasa semuanya sudah betul.

Jika selepas 3 hari, anda dapati masih banyak yang salah, masih banyak yang boleh diperbaiki, ambil masa menyuntingnya semula. Jika sudah siap baru hantar atau anda boleh tunggu lagi 3 hari selepas itu.

Saya faham, ada yang terlalu teruja untuk melihat manuskripnya menjadi sebuah novel tetapi kegelojohan anda boleh mengakibatkan peluang anda hilang begitu sahaja.

Jadi, sabar. Bukan seperti itu novelis-novelis profesional lakukan. Mereka tulis, peram, baiki, peram, baiki dan seterusnya sehinggalah ia menjadi sebuah manuskrip yang baik. Mereka tidak terburu-buru.

Ambil masa untuk memastikan format penulisan dan format manuskrip itu sudah betul atau tidak, jangan pakai hantar sahaja.

2) Hantarlah kepada syarikat yang betul.

Saya melihat masalah ini sebagai salah satu masalah yang utama (major problem) di dalam soal penerimaan dan penolakan manuskrip. Jika sesebuah syarikat tidak menerbitkan manuskrip Cinta, anda hantar juga jadi tentulah silap arah dan tempat. Malah, sesetengah syarikat penerbitan mempunyai pilihan atau kehendak-kehendak tertentu yang anda harus tahu.

Kesimpulannya, anda harus ambil masa untuk mengkaji dan ambil tahu manuskrip anda sesuai untuk syarikat mana dan hantarlah dengan cara yang betul.

3) Simpanlah satu rekod penghantaran manuskrip.

Anda harus memiliki fail (dalam komputer/manual) yang mencatatkan tarikh penghantaran, syarikat yang dihantar dan segala maklumat lain seperti tarikh prufread, cetakan, terbitan dll.

Perkara ini penting kepada anda yang mahu menjadi novelis yang serius kerana jika anda baru menghantar sebuah manuskrip, ia akan nampak mudah tetapi jika anda sudah menghantar lebih daripada 3 buah manuskrip, segalanya mula 'sibuk'. Yang itu perlu dibuat susulan, yang ini kena sunting semula, yang itu sudah diminta prufread, yang ini minta 'blurb' dll kerja.

Jika anda mempunyai rekod yang teratur, anda juga boleh tahu dengan sekali pandang sahaja, berapa lama, manuskrip anda sudah berada di tangan editor, berapa lama tempoh di antara peringkat prufread dan peringkat cetakan dll. Oleh itu semuanya boleh dikesan dengan mudah.

Segala-galanya ada di dalam rekod yang teratur. Anda boleh gunakan Words Excell atau apa sahaja yang anda suka.

TIPS untuk mempercepatkan kerja penulisan

Mungkin ada yang akan mencemuh jika soal 'cepat' itu menjadi ukuran terhadap sesebuah karya tetapi jika manuskrip anda sudah tersadai bertahun-tahun dan perkembangannya merangkak lebih lembab daripada kura-kura... saya rasa saya perlu kongsikan jawapan yang pernah saya berikan kepada salah seorang anak murid saya.

Ada yang pernah bertanya berapa lama masa yang saya ambil untuk menyiapkan sesebuah manuskrip. Jawapan saya, ia bergantung kepada genre dan kategori sesebuah manuskrip itu. Jika lebih rumit, tentulah lebih lama untuk disiapkan. Tetapi apakah tips atau cara untuk mempercepatkan semua kerja-kerja kita?

1) Tahu apa yang kita tulis.

Saya letakkan ia di nombor 1 kerana bagi saya ianya sangat-sangat penting kepada kita. Apa yang kita perlu tahu?

a) Genre
b)Kategori

Kenapa? Kerana ianya mempengaruhi kerja-kerja kita. Menulis genre Thriller tidak sama caranya dengan menulis genre Cinta. Genre Misteri pula berbeza sama sekali dengan Genre Chick Lit. Begitu juga dengan kategori, kategori remaja lain caranya dengan genre kanak-kanak. Setiap genre dan kategori mempunyai keperluan-keperluan tertentu yang harus kita isi di dalam manuskrip yang ditulis.

Jika kita tidak tahu apa yang kita tulis, kita tidak akan tahu apa yang perlu dimasukkan, bagaimana cara memasukkan, berapa panjang mukasuratnya dan lain-lain.

Tanpa pengetahuan tentang bahagian ini, kita seolah teraba-raba arah yang hendak dituju. Jika anda membaca entri sebelum ini, pengetahuan ini termasuk dalam bahagian kraf penulisan.

2) Plotline/Struktur

Mungkin ada yang tidak suka, tidak percaya dan tidak mahu menggunakannya. Tidak apa. Selagi manuskrip anda boleh siap dalam masa yang ditetapkan dan masih menepati genre dan kategori, teruskan.

Sememangnya ada penulis yang termasuk dalam kumpulan SOTP (kumpulan ini dipanggil penulis SOTP) yang mana menulis hanya mengikut idea yang muncul tetapi kita kena faham satu perkara iaitu tidak semua penulis berkemampuan menjadi penulis SOTP.

Cara untuk mengetahui anda bukan penulis SOTP:
a) Projek penulisan anda terbengkalai di tengah jalan.
b) Anda rasa sesat dalam dunia penceritaan anda sendiri
c) Anda tidak nampak lagi ke mana cerita anda akan pergi-apa yang akan terjadi-apa pengakhirannya.

Jika kita ada simptom-simptom di atas, terimalah hakikat yang diri kita belum sama taraf dengan dengan Steven Spielberg. Jadi, cuba-cubalah gunakan cara kumpulan Plotliners.

Saya rasa semua pembaca di sini tahu apa itu plotline. Menyediakan struktur sesebuah cerita sebenarnya sangat membantu kita mendapatkan satu gambaran kasar rupa bentuk manuskrip kita secara keseluruhannya. Ia juga seolah sebuah peta yang akan menunjukkan arah dan jalan supaya kerja-kerja penulisan kita dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

Tanpa plotline ini, sepertilah kita merentas hutan tanpa peta dan kompas. Seperti yang saya katakan di atas, tidak semua orang suka dengan cara ini tetapi ianya membantu jika kita mahu sampai ke destinasi dengan lebih cepat. Apa kata anda cuba kedua-dua kaedah tersebut dan bandingkan sendiri. Jika cara SOTP lebih cepat, gunakan SOTP dan sebaliknya.

Bagaimanapun untuk penulisan karya genre, saya nasihatkan anda menggunakan cara Plotliners kerana genre mempunyai checkpoint yang anda harus tuju di sepanjang perjalanan.

3) Satu projek pada satu masa.

Inipun satu masalah juga. Saya tahu ramai penulis terutamanya yang baru suka menulis banyak cerita pada satu-satu masa. Yang ini belum siap, sudah mulakan yang itu. Lama-lama semuanya tidak siap!

Saya pun seperti anda juga, banyak idea dan jika boleh mahu menulis semuanya serentak tetapi terimalah hakikat bahawa, tangan kita cuma ada dua. Jika kita tidak mampu melakukannya jangan lakukan. Biarkan orang yang boleh menulis 10 buah novel serentak itu berbuat begitu, kita tidak mampu menjadi seperti dia. Kenali kemampuan diri kita dan siapkan satu-satu dahulu.

Berikan sepenuh perhatian, masa dan tenaga kepada satu projek pada satu masa. Hanya dengan itu kita boleh siapkan satu demi satu manuskrip yang betul-betul siap.

4) Tarikh tamat (dateline)

Ini adalah satu perkara yang sangat berguna untuk dipraktikkan. Setiap kali saya mula menulis sesebuah manuskrip, saya sentiasa meletakkan satu tarikh tamat bergantung kepada kesukaran manuskrip tersebut.

Dengan melakukan begitu, saya lebih fokus terhadap projek itu dan otak saya akan berkerja keras secara automatik. Jika tidak diletakkan tempoh masa, kita lebih cenderung untuk berlengah-lengah dalam semua perkara. Akibatnya setelah beberapa tahun pun, manuskrip kita tetap tidak siap-siap.

5) Rutin harian

Jadikan kerja menulis sebagai salah satu rutin harian. Jangan jadikan ia sebagai kerja bila ada masa lapang, bila ada idea, bila ada mood, bila ada cuti dan segala alasan yang lain. Jadikan ia sebagai satu rutin yang kita buat setiap hari seperti menggosok gigi atau mengemas katil dan lain-lain. Jika tidak dapat lama, sekejap pun boleh. Mungkin anda boleh menulis selama 30 minit setiap kali selepas solat subuh atau sebelum masuk tidur setiap malam, asalkan anda menulis.

Lama-kelamaan kerja anda akan siap juga berbanding menulis pada waktu yang tertentu sahaja.

Mungkin apa yang saya kongsikan di atas tidak memberi makna kepada penulis tegar, kerana mereka melakukan lebih daripada apa yang telah dinyatakan tetapi kepada penulis baru, fikir-fikirkan semua tips di atas. Gunakan yang anda rasa sesuai pada diri anda, semoga dengan itu manuskrip anda dapat disiapkan dengan lebih cerpat.

ILMU BANTU DALAM NOVEL

APAKAH yang dimaksudkan dengan ilmu bantu dalam novel? Ketika menulis sesebuah novel seseorang penulis perlu ada ilmu bantu dalam penulisan. Tanpa ilmu bantu, sesebuah karya itu ibarat satu masakan yang tidak cukup resepi. Memang ia boleh dimakan, boleh mengenyangkan tetapi kurang sedap sebab ada resepi yang tidak dimasukkan.

Begitu juga dengan menulis novel. Novel terasa hambar kerana cara penceritaan hanyalah sekali lallu, tidak terperinci atau mendalam. Pembaca tidak akan mendapat gambaran yang sebenar apa yang ditulis oleh pengarangnya.

Sebagai contoh, cuba perhatikan petikkan novel ini. Bagaimanakah penulis begitu teliti menceritakan sesuatu.

“Memang perlu. Contohnya, ukiran kepala sampan, corak wau, hulu keris,tepak sirih, kacip pinang, batik, bunga raya, raflesia, pangkin atau serambi rumah lama, wakaf rebung buluh dan banyak lagi. Kita mesti tahu untuk apa landskap itu dibina. Jika untuk beristirehat dan melayan tetamu, ia harus menjurus kepada lima deria iaitu pandangan, rasa, pendengaran, sentuhan dan bau. Jika inginkan taman herba, kita mesti tahu apa jenis herba itu, “ tegas Puan Rosfidah dengan harapan, apa baru dihujahkan tadi dapat membeirkan ilmu baru kepada Irsyadul Aiman untuk menambahkan pengetahuan di bidang landskap. (Dipetik dari Novel Langit Angsana karya Muhd Nasruddin Dasuki terbitan DBP halaman 129)

Secara mudahnya ilmu bantu ini sebagai info atau maklumat untuk memberitahu pembaca mengenai sesuatu aspek. Sekurang-kurang pembaca akan tahu apa tujuan sesuatu landksap itu dibina bukan semata-mata untuk mencantikkan kawasan tetapi ada mesej lain yang hendak disampaikan.

Katakanlah anda sedang menulis satu babak majlis perkahwinan di dalam novel anda. Apakah anda hanya menceritakan mengenai dua mempelai yang sedang bersanding di pelamin?

Elok juga diceritakan apakah peranan bunga telor, bunga manggar, pelamin yang menampilkan ciri-ciri budaya, merenjis pengantin dan sebagainya. Jika anda penulis berilmu terangkan sedikit apakah tujuan dilakukan demikian.

Sama juga dengan adat peminangan, ada tepak sireh, daun sirih junjung, kain songket, kacip, kapur dan sebagainya. Mengapa ketika membawa sirih junjug, pembawanya mesti di hadapan sekali kemudian diikuiti oleh yang lain-lain?

Begitu juga ketika meletakkan dulang peminangan. Sirih junjung mesti diletakkan di hadapan, kemudian baru diikuti oleh dulang yang lain di belakangnya. Semua itu mempunyai maksud tertentu. Anda sebagai penulis wajar untuk menjelaskan supaya pembaca tahu sekadar sebagai info.

Selain membaca novel untuk mengetahui ceritanya, penulis akan mendapat ilmu bantu atau pengetahuan dari pembacaan novel itu.

Tuesday, May 10, 2011

MENGAPA MENULIS NOVEL

MENGAPA MENULIS NOVEL

SATU soalan yang mudah tetapi bukan senang untuk menjawabnya. Setiap orang mempunyai sebab tersendiri mengapa memilih menulis novel. Penulis telah membuat kajian rambang kepada beberapa peserta yang mengikuti bengkel penulisan dan mereka yang telah memiliki ebook Cara Mudah Menulis Novel yang telah saya hasilkan.
        Hasil daripada kajian rambang itu, dapatlah dibuat beberapa kesimpulan mengapa ada di antara mereka berminat untuk menulis novel.
Kajian 1.
Saya memang suka menulis. Tidak kira sama ada menulis di kertas, diari atau di komputer. Oleh kerana saya minat, saya mampu menulis beberapa halaman sehingga ia mempu dikatakan sebuah cerita sehinggalah saya puashati dan saya berhenti menulis.
        Jika saya tidak menulis di kertas atau komputer, saya akan menulis di blog sendiri untuk meluahkan apa yang terpendam di dalam hati. Bagi saya, menulis seperti makan nasi setiap hari. Tanpa makan nasi, saya lapar. Tanpa menulis, jiwa saya akan kosong.
        Daripada saya membazirkan masa menulis yang tidak ada hujung pangkalnya, alangkah baiknya jika saya menulis novel. Menulis novel sekurang-kurangnya  tulisan saya tidak sia-sia dan apabila diterbitkan, ia boleh dibaca orang lain dan mungkin saya akan mendapat royaltinya.
Kajian 2.
Saya seorang yang suka bercerita tetapi tidak suka berbual kosong atau bercakap tidak tentu fasal. Jika tidak bercerita kepada rakan-rakan rapat, saya akan menulis di komputer atau berforum di blog.
        Saya gemar berkongsi cerita dengan orang lain dan orang lain akan menceritakan pengalaman mereka kepada saya. Sekurang-kurangnya cerita mereka dengan cerita saya boleh disatukan dan dijadikan bahan untuk menulis novel.
        Satu hari, seorang rakan mencadangkan supaya saya cuba menulis novel. Dia memberikan beberapa nama penulis yang boleh dihubungi untuk mendapatkan panduan menulis novel.
        Saya tidak terfikir sebelum ini tetapi apabila saya hubungi beberapa penulis, mereka bersedia memberikan galakan. Katanya tidak mustahil, satu hari nanti saya akan muncul sebagai penulis novel.
Kajian 3
Saya seorang suri rumah sepenuh masa dan mempunyai banyak masa terluang. Tambah pula anak-anak sudah  besar dan banyak masa boleh dimanfaatkan. Suami saya pula membelikan satu komputer riba untuk kegunaan anak-anak dan saya.
        Satu hari anak saya membawa pulang sebuah novel yang dipinjam dari perpustakaan sekolah. Saya tumpang membaca dan timbul minat untuk menulis sebuah novel. 
        Masalah minat sahaja tidak cukup jika menulis tidak ada ilmu. Saya mencari bahan-bahan di dalam internet dan terjumpa satu laman web yang memberi panduan bagaimana mahu menulis novel.
        Saya tidak lepaskan peluang untuk menimba ilmu. Sekarang saya sudah memulakan dua bab awal menulis novel.
Kajian 4.
Saya selalu berfikir, apakah yang akan saya tinggalkan kepada anak-anak apabila saya tiada kelak? Saya tidak banyak harta. Apa yang ada memang cukup untuk kegunaan sehari-hari.
        Saya mahu meninggalkan sesuatu yang boleh dijadikan kenang-kenangan kepada anak dan cucu saya nanti. Tetapi apakah bentuk kenang-kenangan itu? Puas saya berfikir. Apabila saya tanyakan kepada seorang sahabat, dia menyarankan saya menghasilkan novel.
        Benar kata sahabat saya. Dia banyak meminjamkan novel-novel yang dibelinya kepada saya untuk dibaca dan dijadikan panduan menulis. Saya ikuti bengkel penulisan dan kini impian saya mula tercapai kerana saya sedang menyiapkan sebuah novel.
Kajian 5.
Saya seorang yang sukakan cabaran tetapi bukan cabaran fizikal tetapi lebih kepada cabaran minda. Saya suka berfikir sesuatu yang boleh mencabar minda saya dan kemudian saya cuba selesaikan sendiri.
        Tingkah laku seperti ini mungkin pelik kepada sesetengah orang tetapi tidak kepada saya. Saya cuka bermain ‘games’ di internet tetapi kawan saya kata perbuatan itu membuang masa. Biarpun minda kita sentiasa bergerak cergas tetapi hakikatnya ia tidak menguntungkan.
        Cubalah tulis novel, kata kawan saya. Dia mencabar saya bersungguh-sungguh. Saya pula memang pantang dicabar. Pada mulanya saya tidak yakin mampu untuk menerima cabaran itu. Tetapi saya berjaya membuktikannya.
        Saya cuba belajar menulis novel. Beli buku, cari informasi di internet, buang rasa malu menghadiri bengkel. Akhirnya impian saya terlaksana. Hasil daripada menghadiri bengkel penulisan novel, saya telah menghasilkan sebuah novel dan kini dalam proses penerbitan.

MENCIPTA AYAT-AYAT INDAH

MENCIPTA AYAT-AYAT INDAH

TIDAK semua penulis berkemampuan menulis ayat-ayat indah di dalam novel mereka. Tetapi bagaimanakah sesetengah  penulis boleh menulis ayat-ayat yang indah dalam novelnya? Adakah mereka belajar atau idea datang secara tiba-tiba. Ayat-ayat indah yang ditulis oleh penulis itu sebenarnya datang dari dalam memori penulis itu sendiri.
Menurut pakar psikologi, manusia tidak akan dapat mencipta ayat-ayat yang indah sekiranya  mereka tidak pernah mendengar atau membacanya. Setelah mendengar dan membaca, ia akan tersimpan di dalam memori penulis.  Teori ini sama seperti seorang kanak-kanak yang baru belajar bercakap. Kanak-kanak tidak dapat menyebut sesuatu sekiranya dia tidak pernah mendengar daripada apa yang diucapkan oleh orang-orang di sekelilingnya.
Sebagai contoh, pada peringkat awal kanak-kanak tidak tahu membaca. Dia hanya mampu mendengar. Daripada apa yang didengar, ia akan masuk ke dalam memori. Apabila sesuatu perkataan itu diulang-ulang, lama kelamaan kanak-kanak itu akan dapat menyebutnya. Begitu juga dengan penulis, jika penulis tidak pernah  membaca atau memperlajari bagaimana mahu mencipta ayat-ayat yang indah, dia tidak akan dapat melakukannya.
 Satu daripada cara untuk menulis atau mencipta ayat-ayat indah ialah dengan banyak membaca. Banyak  membaca akan mengumpulkan lebih banyak kata-kata. Himpunan daripada kata-kata yang banyak itu boleh diolah untuk melahirkan satu ayat yang indah atau sedap didengar.
Oleh itu jika saudara mahu menulis ayat-ayat indah, saudara perlu banyak membaca. Bacalah buku-buku novel yang mempunyai ayat-ayat yang indah. Tentu saudara dapat membezakan ayat yang biasa kita dengar dengan ayat-ayat yang jarang kita dengar. Keindahannya akan dapat kita rasai jika kita menghayatinya.
Walaupun ia bukan satu kemestian di dalam penulisan novel, tetapi ia merupakan satu seni dalam penulisan novel.  Ayat-ayat yang indah secara tidak langsung akan mengingatkan ayat itu dengan penulisnya. Apabila disebut sahaja ayat indah itu, akan terbayanglah siapa dan di mana ayat-ayat indah itu ditemui.
Terdapat sesetengah penulis apabila menggambar sesuatu keadaan atau suasana dengan ayat-ayat yang berlapis, kelihatan indah didengar. Tetapi ada juga yang menggunakan ayat yang biasa  sahaja, sedang dan mudah difahami. Ia bukan satu kesalahan atau satu kemestian  peraturan di dalam penulisan novel.
Penulis boleh sahaja menulis secara terus terang atau dengan ayat yang berbunga-bunga. Semua itu bergantung kepada kemahiran seseorang kerana menulis ayat-ayat yang indah juga satu kemahiran yang boleh dipelajari dengan latihan yakni menuliskan dalam satu senarai ayat atau perkataan yang indah.         
Contoh di antara perkataan yang indah:
  • Mengolah takdir
  • Di pucuk sunyi
  • Merendam jengkel
  • Menuai kenangan
  • Menyelak langsir ingatan
  • Mendulang masa hadapan
  • Mengukur umur di kalendar hari
  • Terhenyak dalam emosi zaman
  • Menetas di jantung syorga
  • Menampar pagi dengan kekejaman
  • Menangkap bayang hujan dan banyak lagi.
 Manakala ayat-ayat yang indah ialah:
  •  Sepenggal senyuman mengukir di bibir ketika dia menjawab soalan itu.
  • Di luar, bulan bergegas menyelinap di sebalik awan ketika dia beredar.
  • Air muka melukis kepedihan yang maha dalam.
  • Setiik embun mampu membasuh dukanya sepanjang musim.
  • Api marahnya mampu membakar lalang kering biarpun jauh di seberang lautan.
  • Untuk beberapa saat, hatinya hanyut dalam kebisuan.
  • Membiarkan diri tanpa haluan saat kepedihan memaku perasaan.
  • Dia kembali melontar sengih ketika ditanya soalan maut itu.
  •  Angin subuh mula mengelitik ketika dia bangun mengira usia hari.
  • Ruang redup dan damai basah itu membuatkan hati semakin sayu dikerat hari.
  • Dan banyak lagi…
Oleh itu, rajin-rajinlah mengutip perkataan yang indah ketika sdra. terbaca di mana-mana buku, simpan di dalam karung ingatan, buka dan ampailah ia ketika sdra. menulis. Sdra. boleh mencanaikan perkataan-perkataan itu sehingga ia menjadi perkataan asli ciptaan sendiri.